KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Kenaikan gaji penjawat awam dan pelaksanaan gaji minimum lebih tinggi kekal sebagai faktor utama dalam memacu permintaan dan meningkatkan kemampuan untuk pembelian hartanah di seluruh negara tahun ini, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Lee Jim Leng berkata kadar dasar semalaman (OPR) tiga peratus ketika ini dan kadar gadai janji yang stabil di Malaysia memberi petunjuk baik untuk permintaan dalam sektor hartanah.
“Kadar faedah rendah ini menjadikan pemilikan rumah lebih mampu milik bagi mereka yang berhasrat melabur dalam masa terdekat,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Siri Fokus Stratum Ke-18 Bursa Malaysia-Hong Leong Investment Bank di sini hari ini.
Beliau berkata prospek positif sektor itu disokong oleh inisiatif kerajaan dalam Belanjawan 2025.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 tahun lepas mengumumkan pelepasan cukai sehingga RM7,000 untuk pembeli rumah kali pertama membeli hartanah berharga sehingga RM500,000 dan sehingga RM5 ,000 untuk rumah berharga antara RM500,000 dan RM750,000.
“Dengan kadar pertumbuhan guna tenaga yang stabil dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka sebanyak 4.9 peratus bagi Malaysia tahun ini, menurut unjuran HLIB, ekonomi kekal di landasan kukuh, menyediakan keadaan sesuai untuk pertumbuhan mampan dalam sektor hartanah,” katanya.
Lee berkata pelbagai cabaran timbul terutamanya kebimbangan mengenai kemampuan, tekanan inflasi dan ketidaktentuan global yang masih berterusan disebalik pentujuk positif tersebut.
"Menangani cabaran ini memerlukan usaha kolaboratif dan strategi inovatif," katanya.
Menurut Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), nilai urus niaga hartanah Malaysia melonjak ke paras tertinggi lima tahun sebanyak RM105.65 bilion pada separuh pertama 2024, menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 23.8 peratus tahun ke tahun.
Selain itu, Indeks Hartanah Kuala Lumpur dilihat meningkat sebanyak 31.17 peratus pada 2024 dan keadaan hartanah tidak terjual juga telah bertambah baik dengan pengurangan 12.3 peratus dalam volum kediaman tidak terjual.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Knight Frank Malaysia Sdn Bhd Amy Wong menjangkakan tumpuan sektor hartanah tahun ini kebanyakannya pada sektor perindustrian kerana dasar kerajaan terus memacu pelaburan langsung asing ke Malaysia.
“Pelaburan asing ini bermaksud kilang pembuatan, memacu syarikat multinasional berkenaan untuk menubuhkan kilang mereka di Malaysia.
“Lembah Klang mempunyai pelabuhan dan lapangan terbang, manakala Johor pula menyediakan pelabuhan yang kukuh dan kedudukannya berdekatan dengan Singapura. Selain itu, Pulau Pinang dan Kedah di bahagian utara terkenal sebagai hab elektrik dan elektronik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial