PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

Pengecualian cukai jualan untuk pembelian kenderaan baharu pertingkatkan permintaan - MAA

05/06/2020 09:27 PM

Oleh Aishah Mohmad Afandi

KUALA LUMPUR, 5 Jun  -- Pengecualian cukai untuk penjualan kenderaan yang diumumkan hari ini diharapkan dapat meningkatkan permintaan dan memacu industri tersebut pada suku yang akan datang mendatang setelah mengalami kemerosotan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata pengecualian cukai yang diumumkan dapat membantu mengurangkan kos serta menurunkan harga jualan digabungkan dengan tawaran dan diskaun dari peniaga kereta.

"Bagaimanapun, kami masih berhati-hati terhadap unjurannya dan akan kekal kepada sasaran jumlah jualan kami yang disemak iaitu sebanyak 400,000 unit berbanding dengan jangkaan sebelum sebanyak 620,000 unit," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Di bawah peraturan cukai jualan dan perkhidmatan, kenderaan akan dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus.

Aishah berkata jualan kereta yang dianggap sebagai barangan bernilai bagi pembeli akan mengikuti trend pekerjaan di negara ini.

"Bank ketika ini mengenakan prosedur ketat dalam meluluskan pinjaman kereta. Kami akan memantau trend ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada bulan April, hanya 141 jualan kenderaan dicatatkan berbanding 49.935 pada tempoh yang sama tahun lalu kerana pandemik COVID-19 dan juga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) dalam satu kenyataan hari ini menyambut baik insentif yang diberikan kepada industri automotif Malaysia.

Presidennya K. Ravindran berkata inisiatif itu adalah berita baik bagi industri automotif dan penjimatan penuh akan dinikmati pelanggan.

"Dan kami menjangkakan bahawa penurunan harga akan membantu memperkukuhkan semula industri automotif," katanya.

UMWT akan membuat penyesuaian berkaitan dengan harga runcit semua modelnya dan melaksanakannya pada 15 Jun.

Langkah-langkah itu diumumkan hari ini oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk mengimbangi kesan wabak COVID-19.

Kerajaan memberi pengecualian cukai jualan untuk pembelian kenderaan baharu mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

Untuk model pemasangan tempatan (CKD), pengecualian diberi sebanyak 100 peratus sementara pengecualian sebanyak 50 peratus dikenakan terhadap unit yang diimport (CBU).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan