PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

PKS boleh perkukuh perniagaan menerusi penggunaan digital di bawah PENJANA

08/06/2020 09:18 AM

Oleh Zulfazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 5 Jun  -- Usaha untuk meningkatkan penggunaan digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan membantu mengukuhkan perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia Datuk Michael Kang Hua Keong berkata PKS perlu bersiap sedia menghadapi situasi normal baharu dan beralih kepada pendigitan perniagaan bagi mengekalkan operasi dan meningkatkan produktiviti secara perlahan-lahan. 

“Ia satu langkah yang baik bagi PKS dan majikan untuk melatih kakitangan mereka bagaimana untuk bekerja secara dalam talian. Pada masa yang sama, bekerja secara fizikal bagi syarikat,” katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin semasa mengumumkan PENJANA hari ini berkata perusahaan mikro dan PKS yang layak digalakkan beralih kepada pendigitalan perniagaan menerusi program yang dibiayai bersama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan platform e-dagang. 

Platform e-dagang yang menyertai akan menyediakan latihan, subsidi penjual dan sokongan jualan.

Selain itu, kerajaan terus menyediakan geran dan pinjaman kepada perusahaan yang layak di bawah pelbagai skim iaitu Geran Padanan Pendigitalan PKS berjumlah RM100 juta secara kerjasama dengan syarikat telekomunikasi; Dana Transformasi Teknologi PKS berjumlah RM500 juta; dan Geran Automasi Pintar berjumlah RM100 juta, terhad pada RM1 juta bagi setiap syarikat.

Kang memuji komitmen kerajaan menyediakan dana bagi program latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran yang akan mengukuhkan lagi kemampuan kerja, terutamanya dalam PKS.  

“Latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran kakitangan adalah sangat penting kerana setiap perusahaan ketika ini sedang menyusun semula organisasi mereka. 

“Jadi, apabila mereka menggantikan kakitangan mereka, mereka memerlukan latihan semula. Saya fikir ini adalah satu langkah yang baik daripada kerajaan,” katanya. 

Dana berjumlah RM2 bilion akan diperuntukkan bagi program latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran bagi belia dan pekerja yang menganggur bermula pertengahan Jun sehingga akhir Disember 2020.

Sementara itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia Sean Goh berkata pendigitalan telah menjadi semakin penting ketika negara beralih kepada normal baharu dan syarikat itu berharap dapat terus memandaatkan penyelesaian teknologi bagi memperkasakan rakyat Malaysia, PKS tempatan dan perniagaan tradisional untuk mengguna pakai ekonomi digital.

“Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan rakan kongsi bagi menghidupkan visi di sebalik PENJANA.

“Bersama-sama, kita optimis untuk mewujudkan persekitaran ekonomi progresif dan digital, yang inklusif, dinamik dan berdaya tahan bagi memacu Malaysia ke arah pemulihan selepas pandemik,” katanya dalam satu kenyataan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan