JENAYAH & MAHKAMAH

PEMBANTU KEDAI NAFI PECAH AMANAH LEBIH RM200,000

19/04/2024 01:39 PM

BUTTERWORTH, 19 April (Bernama) -- Seorang pembantu kedai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah harta syarikat melibatkan kerugian lebih RM200,000 tahun lepas.

Mohamad Rizal Zainal Abiddin, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Menurut kertas pertuduhan, Mohamad Rizal yang ketika itu merupakan pengurus kedai, secara curangnya telah menggunakan wang syarikat berjumlah RM204,603.60 yang diamanahkan kepada beliau untuk kepentingan sendiri.

Kesalahan itu didakwa berlaku di 7-Eleven Jalan Bagan Ajam di sini, 3.40 petang pada 23 Jun, 2023.

Kes dikemukakan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei ini untuk lantikan peguam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan