TUN HANIF LEGENDA PDRM, LAKUKAN BANYAK PERUBAHAN, PRIHATIN TERHADAP WARGA POLIS

20/04/2024 01:49 PM

SHAH ALAM, 20 April (Bernama) --  Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar merupakan legenda kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan banyak berjasa dalam memperkasakan pasukan PDRM.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata Allahyarham Mohammed Hanif merupakan individu paling lama memegang jawatan KPN selama 20 tahun dan banyak melakukan perubahan dalam menjaga kebajikan warga polis.

“Pada saya Allahyarham merupakan seorang legenda bagi PDRM...Ketika beliau mengetuai PDRM, keadaan aman dan kebajikan pegawai serta anggota memang terjaga. Beliau sebagai legenda dalam PDRM,” katanya semasa memberi penghormatan terakhir di kediaman Allahyarham di Seksyen 13, di sini hari ini.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dan Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim.  

 Mohammed Hanif, 85, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 2.15 pagi tadi akibat sakit buah pinggang memegang jawatan KPN keempat pada usia 35 tahun bermula 8 Jun 1974 sebelum bersara pada 15 Jan 1994.

Menurut Razarudin, bapanya termasuk beliau sendiri sempat berkhidmat di bawah kepimpinan Allahyarham selama lebih 10 tahun bermula dari pangkat Inspektor sehingga ASP.

Dalam pada itu, beliau berkata jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Negara dari kediamannya di Shah Alam pagi ini untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan.

Sementara itu, KPN kelapan Tan Sri Musa Hassan menyifatkan Allahyarham  sebagai ketua yang tegas dan prihatin terhadap pegawai bawahan sepanjang memegang jawatan tertinggi dalam perkhidmatan polis itu.

Beliau berkata Mohammed Hanif banyak membuat perubahan dalam pasukan polis selain menjalankan pelbagai risikan terutamanya terhadap ancaman komunis pada ketika itu.

“Beliau merupakan ketua saya semasa berkhidmat di Polis Kontinjen Melaka dan waktu itu saya berpangkat Inspektor dan beliau Ketua Polis Melaka.

“Beliau sungguh prihatin. Selalu panggil pegawai dan anggota bawahan untuk memberi nasihat...saya ingat lagi, setiap Isnin beliau akan mengadakan mesyuarat melibatkan semua Inspektor dan pegawai untuk mendapatkan maklumat berhubung tugasan kami,” katanya ketika dihubungi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan