GENG AYOI TUMPAS, TIGA LELAKI DITAHAN

22/04/2024 09:50 AM

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Polis menumpaskan geng Ayoi yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah Hulu Selangor dan Gombak dekat sini selepas menahan tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata ketiga-tiga suspek yang berumur 23 hingga 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kuang pada 3 pagi dan pihaknya turut merampas motosikal jenama Honda RSX, dua topi keledar, sehelai baju berwarna hitam serta sepasang kasut.

“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah. Ujian air kencing pula mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Tetrahydrocannabinol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal percaya dengan tangkapan itu polis telah menyelesaikan sembilan kes samun di Hulu Selangor dan Gombak.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu direman enam hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah kepada pihak polis supaya tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan