PROJEK SOLAR: MAHKAMAH DENGAR RAYUAN ROSMAH PADA 23 DAN 24 OKT

23/04/2024 01:30 PM

PUTRAJAYA, 23 April (Bernama) -- Pendengaran rayuan Datin Rosmah Mansor terhadap sabitan, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kes rasuah di Mahkamah Rayuan ditetapkan selama dua hari bermula 23 Okt depan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli menetapkan 23 dan 24 Okt tahun ini untuk pendengaran rayuan ketika pengurusan kes yang dijalankan di hadapannya hari ini.

Peguam Rosmah Datuk Akberdin Abdul Kader dan Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn, ketika dihubungi mengesahkan kepada Bernama tarikh perbicaraan itu.

Dalam pengurusan hari ini, Rosmah diwakili Akberdin dan Datuk Jagjit Singh manakala Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai hadir mewakili pihak pendakwaan.

Akberdin memberitahu Bernama bahawa beliau memaklumkan kepada Timbalan Pendaftar bahawa pada hari pendengaran rayuan itu, mereka mahu mahkamah mendengar terlebih dahulu rayuan Rosmah berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang menolak permohonannya (Rosmah) untuk menggugurkan hakim itu (Mohamed Zaini) daripada mendengar kesnya.

Permohonan untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini dibuat dua hari sebelum keputusan dijangka diumumkan berdasarkan alasan kononnya "penghakiman kes didakwa bocor".

Akberdin juga memberitahu Bernama bahawa pasukan pembelaan telah memfailkan hujahan setebal 700 muka surat untuk rayuan itu.

Pada 1 Sept lepas, Hakim Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah, 72, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun. Dia juga didenda RM970 juta dan jika Rosmah gagal membayar denda itu, dia boleh dihukum penjara 30 tahun.

Dia didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan Rosmah penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan