KASTAM RAMPAS MINUMAN KERAS, ROKOK BERNILAI RM885,000

23/04/2024 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan rokok dan arak di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata rampasan pertama pada 21 Mac lepas, membabitkan sebuah kontena membawa 4,030 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM21,000 dengan jumlah cukai dan duti RM51,610.

"Modus operandi adalah meletakkan tuala dan beberapa barangan lain diletakkan di hadapan kontena, sebaliknya minuman keras tanpa cukai disorokkan di bahagian belakang kontena," katanya pada sidang media di pejabat JKDM, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan pada 2 April lepas, sebuah kontena diperiksa yang membawa kepada penemuan 864,000 batang rokok putih cuba diseludup masuk dari negara jiran dianggar bernilai RM864,000 dan melibatkan jumlah cukai serta duti yang RM656,640.

"Berdasarkan maklumat dalam 'Bill of Lading', dagangan tersebut diikrarkan sebagai lampu laman dari negara jiran bagi mengaburi pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan," katanya.

Norlela berkata hasil pemeriksaan ke atas kontena bersama wakil perkapalan menemukan rokok putih disyaki tidak berkastam dan pengimportannya memerlukan lesen import dan setem cukai.

Keseluruhan rampasan bernilai RM885,000 dan jumlah cukai serta duti sebanyak RM708,250.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan