25 DITAHAN DALAM OPERASI BERSEPADU POLIS KUALA LUMPUR

05/05/2024 11:42 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Sebanyak 25 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sekitar ibu kota bermula semalam hingga pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataan berkata operasi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kontinjen berkenaan melibatkan 12 pegawai dan 147 anggota polis, bermula 10 malam dan berakhir 7 pagi tadi.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berumur 19 hingga 53 tahun dan seramai 13 daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Sepuluh individu ditahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua individu ditahan mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

“Dalam operasi bersepadu berkenaan yang dijalankan di sekitar pusat bandar antaranya di Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Bangsar dan Jalan Kampung Pandan, polis turut mengeluarkan sebanyak 619 saman dan menyita 171 motosikal dan 63 kereta,” katanya.

Beliau berkata kenderaan terbabit disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan pengubahsuaian terhadap ekzos dan enjin serta akan menjalani pemeriksaan semula oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.

Polis Kontinjen Kuala Lumpur katanya akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras aktiviti tidak sihat selain bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan