SULTAN SELANGOR TITAH SEGERA SIASAT INSIDEN BERUNSUR KEGANASAN BABITKAN FAISAL HALIM

05/05/2024 11:45 PM

SHAH ALAM, 5 Mei (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar polis segera menyiasat insiden berunsur keganasan membabitkan pemain pasukan Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim atau lebih dikenali Faisal Halim yang disimbah asid di sebuah pusat beli-belah hari ini.

Sultah Sharafuddin selaku Penaung Selangor FC dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai Presiden Selangor FC mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral itu dan mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian hingga akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya dapat ditangkap segera.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, baginda juga bertitah mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis.

“Baginda memandang serius kejadian ini dan mahu siasatan turut merangkumi kemungkinan sekiranya ada melibatkan kegiatan kumpulan yang berniat jahat atau keingkaran awam seperti samseng bola sepak atau hooliganisme.

"Baginda amat kecewa dan menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan,” menurut kenyataan itu.

Baginda turut menzahirkan kekhuatiran jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang.

Baginda turut mendoakan agar Faisal Halim kembali sihak seperti sediakala dan dapat meneruskan khidmat sebagai pemain untuk pasukan Selangor FC.

Arena bola sepak tempatan hari ini dikejutkan dengan insiden pemain kebangsaan cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara petang tadi.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi kemudiannya mengesahkan insiden tersebut menyebabkan Faisal Halim mengalami kelecuran tahap dua dengan kecederaan di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan