POLIS TAHAN DUA LELAKI, RAMPAS DADAH LEBIH 21 KG

06/05/2024 01:51 PM

IPOH, 6 Mei (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah serta merampas dadah jenis heroin berjumlah 21 kilogram di Jalan Medan Simpang, Simpang dekat Taiping, Jumaat lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kedua-dua suspek berusia 41 dan 47 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak semasa berada dalam sebuah kereta Proton Waja di tepi jalan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dalam kereta tersebut telah menjumpai guni berwarna putih yang berisi 46 bungkusan plastik lut sinar dengan setiap bungkusan mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 21 kg bernilai RM262,275. Turut dirampas dua telefon bimbit dan sebuah kereta.

"Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin dan hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau kes dadah," katanya pada sidang media di IPK Perak di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata berdasarkan siasatan yang dijalankan kedua-dua suspek yang bekerja sebagai nelayan dan pembantu kedai makan dipercayai aktif dengan aktiviti pengedaran dadah sejak Februari lalu.

Menurutnya dadah yang diperoleh bekalannya daripada utara negeri ini dipercayai diedarkan di pasaran tempatan di negeri ini dan dianggarkan dadah itu boleh digunakan kira-kira seramai 20,000 penagih dadah.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman enam hari sejak 4 Mei lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata kira-kira RM4.09 juta nilai keseluruhan dadah dirampas dalam pelbagai operasi sepanjang sejak Januari lalu sehingga kini.

Beliau berkata sebanyak  7,171 individu ditahan serta pelbagai dadah dirampas antaranya syabu sebanyak 54.9 kg, 1.54kg ketamin, 2.5 kg ganja serta 40.9 kg heroin sepanjang tempoh berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan