PENYALAHGUNAAN NPS JADI CABARAN GLOBAL BAHARU - AYOB KHAN

07/05/2024 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Selain jenayah siber, penyalahgunaan bahan psikoaktif baharu (NPS) yang semakin mudah diperoleh melalui Internet, turut menimbulkan kebimbangan berikutan kesan serius terhadap pembangunan sosial dan ekonomi.

Isu yang bersifat rentas sempadan ini memerlukan kerjasama kukuh antara agensi penguatkuasaan undang-undang di peringkat global, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

"Pertumbuhan pesat teknologi maklumat malangnya telah meningkatkan aktiviti jenayah siber dan penyalahgunaan NPS secara global. Peningkatan penggunaan peranti digital, kaedah penyulitan dan perkhidmatan tanpa nama menimbulkan cabaran teknikal yang kompleks bagi agensi penguatkuasaan undang-undang.

"Sifat jenayah ini yang merentasi sempadan menyukarkan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk meneruskan tindakan undang-undang kerana batasan bidang kuasa. Oleh itu, kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang pelbagai negara amat penting dalam menangani cabaran ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tamanya selepas merasmikan Seminar Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Bahan yang dianjurkan bersempena dengan Defence Services Asia (DSA) and National Security (NATSEC) Asia 2024 di sini hari ini.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNOCD), NPS menjadi fenomena global dengan 141 negara dan wilayah dari semua rantau di dunia ini melaporkan satu atau lebih NPS.

Setakat November 2023, sebanyak 1,230 bahan dilaporkan kepada UNODC Early Warning Advisory (EWA) mengenai NPS oleh kerajaan, makmal dan organisasi rakan kongsi.

NPS yang terdapat di pasaran mempunyai kesan sama seperti dengan bahan di bawah kawalan antarabangsa seperti kanabis, kokain, heroin, LSD, MDMA (ekstasi) atau methamphetamine.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan