KERTAS SIASATAN PEMERASAN WANG BABIT LIMA PEGAWAI, ANGGOTA POLIS DIHANTAR KE AGC ESOK

08/05/2024 08:01 PM

KUALA LUMPUR 8 Mei (Bernama) -- Kertas siasatan kes pemerasan wang RM1.25 juta yang membabitkan lima pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC), esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata maklumat lanjut kes akan diberikan selepas tamat tempoh reman.

“Reman suspek akan tamat esok dan selepas itu IP (kertas siasatan) akan dihantar ke AGC. Kenyataan lanjut berkaitan kes ini akan diberikan sama ada oleh saya sendiri atau Ketua Polis Negara,” katanya pada sidang media khas Pengarah JSJ di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan telah dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Jumaat lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata tiga pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Deputi Superintendan (DSP) dan inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini bagi membantu siasatan kes pemerasan wang itu, susulan laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Dua lagi yang ditahan, masing-masing seorang pegawai berpangkat inspektor dan sarjan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan