SPRM TAHAN PEGUAM DISYAKI TERIMA RASUAH RM1.6 JUTA

09/05/2024 01:53 AM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang peguam yang disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1.6 juta daripada seorang usahawan, tengah hari tadi.

Menurut sumber, suspek berusia 30-an itu ditahan di sebuah restoran makanan segera sekitar Ipoh, Perak pada kira-kira 12 tengah hari selepas menerima wang tunai RM100,000 termasuk dua keping cek bernilai kira-kira RM1.5 juta.

Sumber memaklumkan suspek, yang juga pemilik firma guaman, telah menghubungi mangsa kononnya dapat membantu menutup kes jenayah usahawan terbabit.

"Berdasarkan siasatan, wang rasuah itu akan dibahagikan kepada beberapa individu penting di beberapa agensi kerajaan sebagai balasan membantu menutup siasatan kes jenayah yang dihadapi oleh usahawan berkenaan,” katanya.

Pengarah SPRM Perak Ahmad Sabri Mohamed, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Sesyen Ipoh esok pagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan