POLIS TUMPAS DUA SINDIKET, RAMPAS DADAH BERNILAI HAMPIR RM800,000

10/05/2024 03:32 PM

SHAH ALAM 10 Mei (Bernama) -- Dua sindiket pengedaran dadah di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Petaling Jaya tumpas apabila lima lelaki ditahan dan lebih 32 kilogram (kg) pelbagai dadah bernilai hampir RM800,000 dirampas pada 1 dan 4 Mei lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata bagi kes pertama pada 1 Mei, polis menahan seorang lelaki di KLIA dan merampas dadah jenis syabu yang diselaputi lilin dengan anggaran berat 6 kg yang disembunyikan dalam tin.

Beliau berkata susulan penahanan itu, pihaknya menahan tiga lagi lelaki di sebuah bilik hotel di kawasan KLIA dan merampas dadah jenis syabu seberat 18 kg yang disembunyikan dalam enam tin.

“Mereka ini disyaki berperanan sebagai keldai dadah kerana kesemua suspek ini sedang menunggu masa penerbangan untuk membawa dadah ini ke Sarawak. 

“Suspek berusia 25 hingga 55 tahun ini diberi upah RM1,000 setiap tugasan sekiranya berjaya membawa dadah ini sampai ke Sarawak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Beliau berkata dua daripada suspek bekerja sebagai petani dan tukang cat manakala dua lagi tidak bekerja, selain kesemuanya mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah serta positif ujian saringan air kencing.  

“Nilai rampasan dadah berjumlah RM768,000 dan dipercayai untuk dipasarkan sekitar Sarawak,” katanya.

Hussein berkata pihaknya juga sedang mengesan dua saksi berhubung kes itu iaitu wanita berusia 30 tahun, Kee Wei Wei, dan lelaki berusia 44 tahun, Chiew Ching Sing.

“Kee mempunyai alamat terakhir di Lot 33, Lucky Garden, Jalan Puchong, Batu 6, 58200, Kuala Lumpur manakala Chiew mempunyai alamat terakhir di No 6-C, Lorong Belian, 96000, Sarawak,” katanya.

Beliau berkata saksi berkenaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohamad Farizi Ramlee di talian 014-3145347.

Sementara itu bagi kes kedua, Hussein berkata seorang lelaki ditahan di sebuah kondominium di Petaling Jaya dengan enam ketulan dadah jenis ganja seberat lebih 6 kg pada 4 Mei lepas.

Beliau berkata susulan tangkapan itu, polis merampas 2 kg ganja lagi di sebuah kondominium di kawasan sama.

“Suspek bekerja sebagai pembantu restoran dan positif ujian saringan air kencing. Nilai rampasan dadah dianggar RM25,300 dan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

"Pihak polis turut menyita sebuah motosikal jenis Yahama Y15 dianggarkan bernilai RM7,000,” katanya.

Kesemua suspek bagi kedua-dua kes direman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan