KASTAM LABUAN SITA KENDERAAN TIDAK LUNAS DUTI BERNILAI LEBIH RM3.08 JUTA

08/06/2024 04:59 PM

LABUAN, 8 Jun (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan menyita 34 kenderaan pelbagai jenama bernilai lebih RM3.08 juta termasuk duti belum dibayar dalam beberapa siri operasi tahun ini.

Pengarah JKDM Labuan Aspalila Awang Tuah berkata kesemua yang disita termasuk kenderaan mewah seperti BMW, Toyota Vellfire, Volkswagen, Mercedes-Benz dan Audi Q7 dengan operasi terbabit dijalankan di tanah besar Sabah.

Beliau berkata kenderaan lain yang dirampas ialah Toyota Harrier, Toyota Fortuner, Toyota Altis, Toyota Rush, Honda CRV serta Subaru.

“Dalam tempoh kira-kira enam bulan pertama tahun ini, kita sudah merekodkan 34 kes berbanding 16 kes bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Aspalila modus operandi pihak terbabit ialah membawa kenderaan itu ke luar pulau bebas cukai, iaitu Kawasan Utama Kastam (KUK) menerusi kemudahan di bawah Butiran 14 Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.

Beliau berkata bagaimanapun kesemua kenderaan terbabit tidak kembali ke pulau bebas cukai berkenaan selepas tamat tempoh 90 hari ditetapkan.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Menurut Aspalila sekiranya pemilik kenderaan terbabit tidak melunaskan duti atau kompaun, mereka akan berdepan tindakan mahkamah dan kenderaan itu akan dilelong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan