IMIGRESEN SABAH HANTAR PULANG 153 PENDATANG INDONESIA

08/06/2024 08:53 PM

TAWAU, 8 Jun (Bernama) -- Seramai 153 pendatang asing tanpa izin warganegara Indonesia yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen di Tawau dihantar ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka, Indonesia semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata proses pemindahan itu melibatkan tahanan berumur antara 6 hingga 66 tahun membabitkan 123 lelaki, 25 wanita serta seorang kanak-kanak yang menaiki Feri Purnama Express.

"Ini merupakan program pemindahan pendatang asing tanpa izin siri ke-10 bagi kategori usir melalui laut bagi tahun 2024, mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 serta Peraturan Peraturan Imigresen 1963, " katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, program pemindahan warganegara Indonesia itu dilaksanakan dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu serta Konsul Republik Indonesia di Tawau.

Sh Sitti Saleha berkata pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan, selain pemindahan pendatang asing tanpa izin yang selesai menjalani proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan