MAYAT WANITA WARGA EMAS DITEMUKAN TERAPUNG DI SUNGAI BARON

09/06/2024 06:12 PM

SARIKEI, 9 Jun (Bernama) -- Mayat seorang wanita warga emas ditemukan terapung tanpa pakaian di tebing Sungai Baron, 29 kilometer dari sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat Lenya Sigat, 62, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 10.35 pagi hari ini, lebih kurang 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang sejak Khamis lepas.

“Pasukan kedua SAR yang berjalan menyusuri sungai menghala ke lokasi terakhir mangsa, telah berjaya menemukan mayat yang berada di tebingan sungai dan terapung tanpa pakaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi membawa naik mayat wanita warga emas itu dilakukan sebaik sahaja pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei selesai membuat pemeriksaan dan operasi SAR yang memasuki hari ketiga ditamatkan pada 1 tengah hari tadi.

Berdasarkan laporan polis, kehilangan mangsa hanya disedari apabila adik lelakinya mendapati mangsa tidak ada di rumah pada 1 tengah hari Khamis lepas.

Adiknya kemudian memeriksa tempat mandi iaitu di sebatang anak sungai berhadapan Rumah  Tury namun gagal menemukan mangsa di situ.

Usaha awal mencari bersama penduduk kampung terus dilakukan dan telah menjumpai tong cat berwarna putih berserta barangan seperti sabun dan pakaian milik mangsa hanyut 100 meter dari lokasi tempat mandi itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan