BEKAS PEMBANTU AKAUNTAN DIPENJARA LIMA TAHUN KERANA PECAH AMANAH

10/06/2024 06:27 PM

KOTA BHARU, 10 Jun (Bernama) -- Seorang bekas pembantu akauntan sebuah syarikat pelancongan dan pakej umrah dihukum penjara lima tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 kesalahan pecah amanah wang majikannya berjumlah RM149,000, dua tahun lepas.

Hakim Nik Habri Muhamad membuat keputusan tersebut terhadap Muhammad Khairi Ismail, 31, setelah dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Beliau mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 25 Jan 2023 dan hukuman bagi setiap petrtuduhan berjalan serentak.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut melibatkan wang syarikat Al Quds Umrah dan Tours (M) Sdn Bhd di premis syarikat itu di Wisma Al Quds, Jalan Sultan Yahya Petra di sini antara 29 Sept 2022 hingga 25 Jan 2023.

Kesemua kesalahan itu dilakukan dengan memindahkan wang yang diamanahkan dari akaun bank syarikat iaitu MBSB Bank ke akaun Maybank miliknya bagi kegunaan sendiri.

Muhammad Khairi didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan (Akta 574), sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimun 14 tahun dan sebat serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam Norizaidah Abdul Salam.

Ketika rayuan, Norizaidah memohon supaya hukuman ringan dijatuhkan ke atas anak guamnya memandangkan tertuduh bersama abang sulungnya perlu menanggung empat adik-beradik yang masih belajar dan ibu bapa yang mengalami sakit tua.

Nik Habri menasihatkan tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama pada masa lain dan mengingatkannya agar insaf atas perbuatan yang dilakukan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan