POLIS NAFI PIHAK BERKUASA BAKAR RUMAH SETINGGAN DI INANAM

10/06/2024 10:41 PM

KOTA KINABALU, 10 Jun (Bernama) -- Polis  menafikan dakwaan dalam video yang tular di media sosial kononnya pihak berkuasa bertindak membakar rumah setinggan bersebelahan Kampung Kalansanan, Inanam di sini hari ini. 

 Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata kejadian yang menyebabkan 26 rumah setinggan hangus terbakar itu dipercayai berpunca daripada kejadian litar pintas di sebuah rumah menyebabkan rumah itu terbakar sebelum kebakaran itu merebak ke kawasan rumah lain.

Katanya litar pintas itu juga dipercayai berpunca kerana rumah pertama yang terbakar itu dijadikan satu-satunya punca untuk kabel bekalan elektrik sebelum kabel bekalan itu disambung ke rumah lain.

“Ketika itu polis berada antara 50 hingga 60 meter dari lokasi berkenaan. Polis berada di belakang kawasan itu dan polis tidak terlibat di bahagian depan (kawasan punca kebakaran) dan kebakaran itu tidak ada kena mengena dengan kawasan operasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kasim berkata polis juga memberikan penerangan kepada penduduk bahawa pihak berkuasa tidak hadir ke kawasan itu bagi membakar rumah setinggan, sebaliknya mengadakan operasi membanteras pendatang haram dan jenayah.

Beliau berkata polis telah membuat panggilan kecemasan melaporkan kejadian itu sebelum bomba tiba pada jam 12.59 tengah hari untuk memadam kebakaran.

Justeru beliau meminta pihak terlibat supaya memadam video tular yang megelirukan orang ramai itu dan menasihatkan semua pihak supaya berhati-hari dalam berkongsi maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sabah berkata 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan 12 anggota dari BBP Kota Kinabalu telah berjaya mengawal kebakaran itu pada jam 2 petang.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan. Pasukan penyiasat masih dilokasi dan mengalami sedikit kelewatan kerana masih terdapat wayar-wayar elektrik yang disambung secara haram," katanya dalam kenyataan berasingan.

Beliau berkata atas faktor keselamatan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menasihatkan supaya anggota berhati-hati kerana terlalu banyak penyambungan eletrik haram di lokasi kejadian.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan