AGC AKAN BANTAH PERMOHONAN DAIM DAN KELUARGA CABAR TINDAKAN SPRM BEKU AKAUN

12/06/2024 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membantah permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan keluarganya berhubung tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank mereka.

Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Shamsul Bolhassan memaklumkan perkara itu semasa prosiding pendengaran kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini.

Permohonan akan didengar pada 8 Ogos ini di hadapan hakim lain iaitu Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Pada prosiding hari ini, SFC Ahmad Hanir Hambaly turut hadir bagi AGC manakala Daim dan keluarga diwakili peguam Nizamuddin Hamid.

Ketika dihubungi pemberita Nizamuddin turut mengesahkan mahkamah memberikan perintah perlindungan iaitu maklumat sensitif mengenai akaun bank pemohon tidak boleh didedahkan kepada orang ramai.

Dalam permohonan difailkan 6 Jun lepas, Daim dan keluarga memohon perintah untuk membatalkan tindakan SPRM menyita harta alih itu yang dikenakan mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Selain Daim turut dinamakan sebagai pemohon ialah isterinya Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan empat anak mereka iaitu Asnida, Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Sebanyak 18 syarikat juga dinamakan sebagai pemohon iaitu Aad Equity Sdn Bhd, Yayasan Haji Zainuddin, Ilham Baru Sdn Bhd, Anchor Point Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Adrihaniz Sdn Bhd, Syarikat Maluri Sdn Bhd, Amiraz Sdn Bhd, Ridana Sdn Bhd, Daan Sdn Bhd, Maya Seni Holdings Sdn Bhd, Magical Zone Sdn Bhd, Permatang Maju (M) Sdn Bhd, Brainstorms Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Gajah3 Resource Centre Sdn Bhd, Ilham Tower Sdn Bhd dan Selidik Jaya Sdn Bhd.

Semua pemohon menamakan Penolong Penguasa Sektor Sasaran Operasi Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM Haris Fadhila Sukaime, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia, sebagai responden pertama hingga keenam.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa tindakan penyitaan harta alih yang dikenakan SPRM mengikut Seksyen 50 AMLATFPUAA dan semua tindakan serta keputusan diambil responden pertama hingga keempat adalah tidak sah dan terbatal.

Pada 4 Mac lepas, permohonan pertama semakan kehakiman difailkan Daim dan keluarga berhubung siasatan SPRM terhadap mereka telah ditolak Mahkamah Tinggi di sini atas alasan pemohon gagal membuktikan unsur niat jahat terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan