OPS LEJANG: JPJ KELANTAN KELUAR 241 NOTIS KESALAHAN JALAN RAYA

12/06/2024 07:20 PM

KOTA BHARU, 12 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengeluarkan 241 notis termasuk saman dan sitaan atas pelbagai kesalahan jalan raya menerusi penguatkuasaan Ops Lejang melibatkan motosikal di Pengkalan Chepa, petang semalam.

Pengarah JPJ negeri Mohd Misuari Abdullah berkata daripada jumlah itu, 144 saman dikeluarkan dalam penguatkuasaan selama dua jam itu.

"Kesalahan terbanyak ialah tiada lesen memandu kompeten (CDL) dengan 41 saman, diikuti 22 saman kerana tidak berhenti apabila ditahan, tiada lesen kenderaan motor (LKM) dan tiada insurans masing-masing 16 saman serta tujuh saman kerana memandu bawah umur.

"Terdapat sejumlah 42 saman lagi atas kesalahan teknikal iaitu melibatkan tujuh kes berkaitan brek; masing-masing dua kes berkaitan meter kelajuan, lampu berhenti dan tayar; nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (12); cermin sisi (10) dan ekzos (7)," katanya.

Beliau berkata operasi dilakukan selepas pihaknya bertindak atas hasil risikan dan aduan berkaitan aktiviti perlumbaan haram dan menguji kelajuan.

"Risikan turut mengesan beberapa aksi bahaya seperti 'wheelie', meniarap, memasukkan gear dengan tangan, tidak memakai topi keledar dan lain-lain aksi berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.

"Menerusi aduan beberapa pihak termasuk orang awam dan pengguna Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), risikan turut mendapati aktiviti itu disertai oleh kebanyakan remaja belasan tahun dan awal 20-an," katanya.

Beliau berkata operasi juga dilakukan susulan kemalangan berlaku di Lebuhraya Jalan Jerus-Kok Lanas, Lingkaran Tengah Utama (CSR) dua hari lepas melibatkan tiga motosikal yang mengakibatkan satu kematian manakala dua cedera parah.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan dibuat di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 81 APJ 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan