MILIKI LEBIH 1 KG HEROIN DAN SYABU DUA LELAKI DITAHAN DI KUALA PILAH

13/06/2024 02:14 PM

KUALA PILAH, 13 Jun (Bernama) -- Dua lelaki tempatan dicekup selepas didapati memiliki 1.07 kilogram dadah jenis heroin dan 25.4 gram syabu dengan nilai keseluruhan RM41,684.80 di sebuah rumah di Kampung Sompo Dangi, Johol dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Gani berkata sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kuala Pilah menahan penagih dadah tegar itu, masing-masing berusia 38 dan 41 tahun pada 1.30 pagi.

Beliau berkata hasil risikan mendapati dua lelaki terbabit menaiki motosikal secara berasingan dari Johor menuju ke Pahang disyaki untuk mengedar dadah berkenaan.

“Kedua-dua suspek dari Johor, kebetulan mereka orang sini dan singgah ke rumah saudara (lokasi serbuan) di kampung itu kerana lampu motosikal seorang daripada suspek mengalami kerosakan.

"Setelah itu, polis menahan lelaki terbabit dan menjumpai bungkusan dadah jenis heroin dan syabu dalam bag suspek," katanya kepada pemberita di IPD Kuala Pilah di sini hari ini.

Menurut beliau tangkapan itu dapat membanteras pengedaran dadah kepada 3,583 individu.

Amran berkata hasil pemeriksaan air kencing kedua-dua suspek didapati positif morfin dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39 ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

Beliau berkata pihaknya turut menyita motosikal suspek iaitu Yamaha Y15 ZR dan Yamaha 135 LC dengan nilai keseluruhan RM20,000.

Amran berkata setakat ini pihaknya sudah membanteras kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah di daerah ini dengan jumlah RM70, 674.80 bagi tempoh Januari hingga Mei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan