PERBICARAAN KES SAMAN SIVIL SRC TERHADAP NAJIB DITANGGUH KE 19 JUN

13/06/2024 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Perbicaraan kes saman sivil SRC International Sdn Bhd terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif syarikat itu Nik Faisal Ariff Kamil di Mahkamah Tinggi di sini tangguhkan ke 19 Jun.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menangguhkan perbicaraan selepas peguam bela Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa anaknya Muhammad Farhan yang mengendalikan kes berkenaan tidak dapat menghadiri prosiding hari ini kerana penerbangannya dari London yang sepatutnya tiba hari ini dibatalkan.

“Seperti yang saya maklumkan kepada Yang Arif semasa prosiding lepas, Muhammad Farhan berada di luar negara kerana kecemasan keluarga. Kebanyakan bahan (untuk perbicaraan) sebenarnya ada pada Farhan dan dia sepatutnya memberi taklimat kepada saya mengenai dokumen khusus untuk pemeriksaan balas Datuk Suboh Md Yassin.

“Saya mencadangkan supaya pemeriksaan balas dijalankan pada 19 dan 20 Jun, seperti yang dipersetujui sebelum ini," kata beliau dan menambah bahawa beliau berhasrat memulakan pemeriksaan balasnya terhadap Suboh sejurus selepas bekas pengarah SRC itu membaca kenyataan saksinya yang disediakan. 

Selepas mendengar penjelasan Muhammad Shafee, peguam Suboh Datuk Dr Gurdial Singh Nijar membuat permohonan untuk menangguhkan prosiding hari ini, yang kemudiannya dibenarkan mahkamah.

SRC, di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami berjumlah RM42 juta. 

Najib, 70, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022, dan susulan keputusan Lembaga Pengampunan, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan