ALIFF AZIZ CERAIKAN BELLA ASTILLAH TALAK SATU 

13/06/2024 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Kemelut rumah tangga yang melanda penyanyi dan pelakon Aliff Aziz dan isterinya pelakon Bella Astillah berakhir apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Aliff atau nama penuhnya Mohamad Aliff Aziz, 33, melafazkan cerai talak satu terhadap Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan penyanyi wanita itu.

“Mahkamah berpuas hati bahawa tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq terhadap pasangan ini. Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan penceraian dan mensabitkan berlaku penceraian talak satu kali kedua mulai hari ini serta memerintahkan plaintif (Bella) menjalani tempoh idah selama tiga kali suci,” kata hakim syarie itu.

Wan Mohd Najib turut merekodkan perjanjian penyelesaian kedua-dua pihak iaitu plaintif melepaskan haknya terhadap mutaah, nafkah iddah dan hutang perkahwinan serta hak penjagaan anak diserahkan sepenuhnya kepada plaintif.

Terdahulu, peguam Syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Bella memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak (Bella dan Aliff) tidak akan menuntut hak harta sepencarian dan Aliff bersetuju hak penjagaan anak diserahkan kepada Bella sepenuhnya selaku ibu kandung serta tidak membuat sebarang tuntutan nusyuz terhadap penyanyi wanita itu.

Peguam Syarie Abdul Hadi Mohamad Salleh yang mewakili Aliff mengesahkan perkara itu.

Bella memfailkan permohonan cerai secara fast track terhadap Aliff pada 11 Mac lepas mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 atas alasan mereka sudah tiada persefahaman dan tiada mawaddah (cinta dan kasih sayang).

Perceraian fast track merupakan satu proses apabila pasangan bersetuju untuk bercerai di bawah peruntukan Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan tidak perlu menunggu selama 90 hari untuk menyelesaikan kes mereka.

Bagaimanapun pada prosiding 4 April lepas, peguam Syarie Abdul Hadi Mohamad Salleh yang mewakili Aliff memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak bersetuju dengan permohonan perceraian difailkan Bella dan memohon perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Pasangan itu yang berkahwin pada 9 Sept 2016 dan dikurniakan dua anak Mohd Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3, telah bercerai dengan talak satu pada 16 Mei 2019 di Mahkamah Rendah Syariah di sini, namun kembali rujuk semasa dalam tempoh idah.

Sementara itu, Aliff ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata hak penjagaan anak diberikan kepada Bella kerana beliau merupakan ibu kepada anak-anak mereka selain mengharapkan doa yang terbaik buat dirinya.

Bella yang kelihatan tenang melahirkan rasa syukur dan tidak akan menuntut sebarang nafkah kerana harta yang paling bermakna adalah anak-anak.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan