KES KELAR ISTERI: SUAMI DIDAKWA TUDUHAN BUNUH

14/06/2024 04:56 PM

KLANG, 14 Jun (Bernama) -- Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya yang ditemukan dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan, minggu lepas.

S. Suria Raj, 31, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh A. Kirshashini, 28, di dalam bilik tidur di sebuah pangsapuri di Jalan Palma, Bandar Botanik di sini antara 6.30 hingga 7 pagi pada 7 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.  

Majistret Siti Zubaidah Mahat menetapkan 3 Sept ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan kesihatan mental.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil dengan kesan kelar di leher dan tangan kanan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan