GURU TADIKA CEDERAKAN KANAK-KANAK LELAKI DIPENJARA DUA BULAN

14/06/2024 05:05 PM

KLANG, 14 Jun (Bernama) -- Seorang guru tadika dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, bulan lepas.

Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap M. Malini, 25, selepas dia mengaku dengan sengaja mencederakan kanak-kanak berkenaan di sebuah tadika di Jalan Pandamaran, di sini pada 9.36 pagi, 13 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tertuduh ditangkap.

Bagaimanapun peguam A. Birantha yang mewakili tertuduh memohon mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan hukuman anak guamnya diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Menurut Birantha, Malini tidak mendapat nasihat berkenaan prosiding hari ini dan anak guamnya itu diberitahu oleh keluarganya bahawa hukuman yang akan dikenakan hanyalah denda.

Timbalan Pendakwa Raya Yong Ching Hong tidak membantah permohonan itu dan memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

“Tertuduh disabit dengan hukuman dua bulan penjara di bawah budi bicara mahkamah. Bagi kes ini hukuman selaras dengan hukuman di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Permohonan stay order (penangguhan) yang dibuat adalah tertakluk kepada keadaan khas (yang dibenarkan oleh mahkamah),” kata Yong.

Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman itu dan menetapkan jaminan pada syarat seperti dimohon oleh pihak pendakwaan.

Terdahulu, seorang kanak-kanak berusia empat tahun dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian pipi dipercayai dipukul oleh gurunya di sebuah tadika di jalan Pandamaran di sini pada 13 Mei lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan