DUA MAUT BERBALAS TEMBAKAN DENGAN POLIS DI JOHOR

15/06/2024 10:54 AM

JOHOR BAHRU, 15 Jun (Bernama) -- Dua lelaki disyaki penjenayah ditembak mati ketika berbalas tembakan dengan polis di Jalan Abad di sini, kira-kira 5 petang, semalam. 

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata seorang suspek berusia 42 tahun, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti identitinya kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati individu berusia 42 tahun itu mempunyai 38 rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

"Kejadian ini berlaku ketika sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mengekori sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima berwarna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila menyedari diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat," katanya dalam kenyataan hari ini.

M Kumar berkata tindakan suspek itu menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki suspek dan insiden berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek yang berada di dalam Toyota Estima itu terkena tembakan dan maut di lokasi.

Pihaknya turut menemukan dua pucuk pistol di dalam kenderaan itu serta sepucuk pistol pada badan seorang suspek.

"Selain itu, polis turut menjumpai pelbagai jenis bahan dipercayai dadah berbahaya di dalam kenderaan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan