TDM, POLIS PATAHKAN CUBAAN SELUDUP LEMBU

15/06/2024 01:07 PM

TANAH MERAH, 15 Jun (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mematahkan cubaan menyeludup masuk 69 ekor lembu bernilai RM345,000 dalam operasi yang dijalankan semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan kejadian tersebut berlaku di sektor kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd) sempadan Malaysia-Thailand.

"Berdasarkan maklumat perisikan yang diperoleh, pasukan operasi berjaya menahan dua suspek rakyat tempatan yang sedang melakukan aktiviti penyeludupan lembu di kawasan hutan berdekatan sempadan pada pukul 8.20 malam.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek sedang cuba menyeludup lembu terbabit masuk ke Malaysia untuk dijual sempena sambutan Hari Raya Aidiladha demi mengaut keuntungan yang lumayan," menurut kenyataan itu hari ini.

Turut dirampas treler jenis Volvo 50 tan dan CNHTC 50 tan. 

"Suspek dan barang rampasan diserahkan ke Balai Polis Lalang Pepuyu dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

"TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan