MCMC KEMUKA PERMOHONAN TURUNKAN KANDUNGAN DIDAKWA MAKLUMAT SIASATAN KES ZAYN RAYYAN

15/06/2024 03:48 PM

PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengemukakan permohonan kepada pengendali platform media sosial termasuk TikTok dan Telegram, untuk menurunkan kandungan yang didakwa memaparkan maklumat siasatan yang dibocorkan berkaitan kes kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin.

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan ia telah mengenal pasti beberapa laman media sosial yang memaparkan dakwaan maklumat tersebut, dan menyifatkan penyebaran itu sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengganggu perbicaraan kes.

“Pengguna media sosial juga dinasihatkan untuk memadam hantaran atau sebarang komen yang boleh menimbulkan spekulasi dan MCMC memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat tidak sahih atau palsu,” menurut kenyataan MCMC itu.

Menurut MCMC, berkongsi maklumat tidak sahih atau palsu boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, serta denda lanjutan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, kandungan yang didakwa maklumat siasatan kes Zayn Rayyan tular di media sosial dan mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan warganet.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain semalam dilaporkan berkata pihak polis akan mengemukakan permohonan kepada MCMC untuk menurunkan kandungan tular berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan