18 PEGAWAI POLIS BERLEPAS KE SUDAN SELATAN SERTAI MISI PENGAMAN PBB

24/06/2024 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Seramai 18 Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Polis berlepas ke Sudan Selatan, tengah malam tadi, bagi menyertai misi pengaman di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang turut dikenali sebagai United Nations Mission in South Sudan (UNMISS) selama setahun.

Menurut hantaran di Facebook Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), delegasi itu dipimpin Ketua Kontinjen Kumpulan G18 ACP Loi Poo Lang dan dibantu Timbalan Ketua Kontinjen Supt Mohamad Pouzi Abd Rouf.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/ Perjawatan) Bukit Aman DCP Ab Rahaman Arsad hadir mewakili Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim bagi menyempurnakan Majlis Penghantaran Pegawai PDRM ke UNMISS di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ab Rahaman dalam ucapan ringkasnya mengingatkan semua yang akan bertugas di Sudan Selatan itu agar tidak mengganggu agama di negara tempat mereka bertugas, tidak mengganggu adat resam dan budaya selain mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan di negara berkenaan.

“Bila berjalan memelihara kaki, bila berkata pelihara lidah, ingin lurus rentangkan tali, ingin mulia tepati janji, berjalan dengan yang tua, belayar ikut kata nakhoda, belajar berkata dengan yang pandai, jangan sampai bersalam, pulang berterajang,” katanya menerusi hantaran itu.

Delegasi itu terdiri daripada ASP Fairus Md Dawe, ASP S. Manivannan, ASP Harminder Singh Pritam Singh, Insp Liza George Mokunjil, Insp Nor Azlina Shahrul Zaman, Insp Tay Swee Boon, Sub Insp (SI) Gan Lai Ling, SI Jimmy Jaih, SI Emmanuel Stephens, SI Shawal Shariff, Sjn Mejar (SM) Mohd Hafizzuddin Augustin Abdullah, SM Muhammad Ibrahim Salimy Shohimi, Sjn Sarihati Awang Akhbar, Sjn Jim Chin, Sjn Albert Legan dan Sjn Mohamad Marjida Mahari.

Menurut hantaran itu, penglibatan PDRM secara aktif dalam misi pengaman PBB bertitik tolak dari penghantaran 14 warga PDRM ke Misi Angola sejak 1991 seterusnya Misi Darfur pada 2008 dan UNMISS sejak 2011 tertakluk atas permintaan PBB.

Peranan PDRM dalam misi itu adalah sebagai Individual Police Officers (IPOs), dengan penugasan adalah berkonsepkan traditional approach policing yang tertumpu kepada pembaharuan, pembinaan semula dan penstrukturan semula dalam usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam. 

IPOs turut berperanan menangani pelbagai isu seperti hak asasi manusia, pengawasan antarabangsa, kepolisan masyarakat, kesedaran kebudayaan dan sosial, bimbingan dan tunjur ajar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan