GENG TR: KES DIPINDAH KE MAHKAMAH TINGGI SHAH ALAM

26/06/2024 03:16 PM

KLANG, 26 Jun (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan perbicaraan kes 20 lelaki yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Geng TR dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim Ahmad Faizadh Yahaya mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan yang dikemukan Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail mengikut Seksyen 177A (1) Kanun Tatacara Jenayah.

"Prosiding hari ini ditetapkan bagi sebutan kes dan mendapatkan izin mengikut seksyen berkenaan untuk kesemua tertuduh. Oleh itu, pendakwaan memohon kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan izin  tidak mendapat bantahan dari pihak pembelaan,” katanya semasa prosiding sebutan semula kes. 

Ahmad Faizadh yang membenarkan permohonan berkenaan tidak menetapkan tarikh sebutan kes di Mahkamah Tinggi.

Selain Lina Hanini, pasukan pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hashim dan Syafinas Shabudin.

Seramai 16 daripada tertuduh diwakili peguam Kevin Quah Kai Weng, Sukhdey Singh, Rushilan Guralan, Gurmukh Singh Sandhu, Renuka Krishasamy dan Haresh Mahadevan, manakala empat lagi tidak diwakili peguam.

Pada 29 Mei lepas, seramai 20 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang, Geng TR sejak lima tahun lepas.  

Mereka adalah N. Nithiyan, 39; S. Logan, 32; R. Parthipan, 32; M. Keshava Nair, 30; A. Balamurugan, 40; V.S Wilbert, 46; M. Ramakrishnan, 45; R.E Mohan, 34; M. Thanasekaran, 44; Edward Liew, 49; S. Manoraj, 28; M. Amaran, 30; S. Hemanathan, 31; K. Thana Seelan, 38; K. Ravishankara, 43; Muhammad Razi Abdullah, 51; G. Deeneskumar, 29; K. Venaigaraj, 32; A. Kogilan, 26, dan M. Tineshkumar, 26. 

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran makanan laut di Sungai Janggut, Kuala Selangor pada November 2019 hingga 2 Mei lepas. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(I) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan