LFL : MAHKAMAH PERSEKUTUAN TOLAK SAMAN TERHADAP MENTERI SINGAPURA, ARAH SAMAN KEDUA DIDENGAR MAHKAMAH TINGGI

28/06/2024 06:19 PM

PUTRAJAYA, 28 Jun (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menolak saman sivil difailkan Lawyers for Liberty (LFL) terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura K. Shanmugam, mengenai pertikaian kumpulan hak asasi itu untuk perisytiharan bahawa arahan ‘pembetulan’ dikeluarkan kerajaan Singapura tidak boleh dikuat kuasakan terhadap mereka di Malaysia.

Panel lima anggota yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim itu, membenarkan permohonan Peguam Negara untuk membatalkan saman itu.

Peguam Negara telah diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 untuk mencelah dalam saman LFL terhadap Shanmugam.

Dalam saman pemula, LFL memohon injunksi untuk menghalang kerajaan Singapura daripada menguatkuasakan undang-undang Singapura, khususnya Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) atau mengambil sebarang tindakan terhadap LFL.

Ketika menyampaikan keputusan, Hakim Abang Iskandar berkata saman itu berkaitan dengan imuniti berdaulat atau negara, yang Mahkamah Malaysia tidak dapat melaksanakan sebarang bidang kuasa adjudikasi ke atas tindakan negara yang berdaulat.

Sementara itu panel yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Hanipah Farikullah, menolak rayuan Kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman kedua LFL, yang menyentuh hak asasi kumpulan itu untuk menyatakan pendapatnya mengenai sebarang perkara di Malaysia dan haknya yang tidak boleh dihalang oleh Akta Pofma.

Abang Iskandar berkata saman kedua itu, tidak melibatkan isu pencerobohan ke atas kekebalan negara atau kedaulatan, tetapi melibatkan pihak Malaysia yang mahkamah Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mendengarnya.

Beliau berkata LFL telah melahirkan kebimbangan dan mahu mendapatkan penjelasan mengenai hak kebebasan bersuara mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan, berkaitan kenyataan dibuat di Malaysia yang menjadi perkara diperbincangkan dalam perundangan Singapura iaitu Akta Pofma.

“Ini, pada pandangan kami tidak ketara dan secara jelasnya tidak dapat diterima,” kata Abang Iskandar.

Kerajaan Singapura mengeluarkan ‘notis pembetulan’ kepada LFL pada 2020, berikutan kenyataan akhbar dikeluarkan kumpulan itu di laman sesawangnya, yang mendakwa kaedah kejam dan menyalahi undang-undang telah digunakan untuk hukuman mati terhadap tahanan di penjara Changi Singapura.

Kerajaan Singapura mendakwa artikel tersebut mengandungi kenyataan fakta palsu dan mengarahkan kumpulan itu untuk memasukkan ‘notis pembetulan’ dan kegagalan untuk mematuhi arahan pembetulan itu, akan menjadi kesalahan di bawah Akta Pofma mereka.

LFL telah tidak mematuhi arahan pembetulan itu, sebaliknya mereka memfailkan dua saman pemula di Mahkamah Tinggi, satu terhadap Shanmugam dan satu lagi terhadap Kerajaan Malaysia.

Pada 10 Jun 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan Malaysia dan Peguam Negara untuk membatalkan kedua-dua saman itu, tetapi Mahkamah Rayuan pada 20 Julai 2022 membatalkan keputusan itu dan mengarahkan saman itu dihantar semula ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Pada 16 Mei tahun lepas, kerajaan Malaysia dan Peguam Negara telah diberi kebenaran untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan dikeluarkan Mahkamah Rayuan. Prosiding rayuan itu hari ini secara dalam talian menerusi aplikasi zoom.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin mewakili Kerajaan Malaysia dan Peguam Negara manakala peguam Datuk Dr Gurdial Singh Njiar, Latheefa Koya, Shahid Adli Kamarudin dan Abraham Au, mewakili LFL.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan