PELEPASAN GAS AMONIA DARI KILANG DI SUNGAI PETANI TIDAK MELEBIHI PARAS BAHAYA

28/06/2024 08:36 PM

ALOR SETAR, 28 Jun (Bernama) -- Pelepasan gas amonia dari sebuah kilang menghasilkan produk berasaskan getah di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Sungai Petani, hari ini tidak melebihi paras bahaya yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata hasil cerapan yang dilakukan pada  3.39 petang tadi mendapati bacaan gas amonia di kawasan kebocoran iaitu zon merah adalah antara enam hingga lapan partikel per sejuta (ppm).

"Bacaan gas di zon hijau pula adalah pada kosong ppm dan kepekatan gas amonia itu di bawah tahap yang dibenarkan JKKP iaitu 25 ppm. Kebocoran telah dikawal sepenuhnya dan tidak menjejaskan kawasan persekitaran kilang atau menyebabkan pencemaran di luar kawasan kilang.

"Bagaimanapun, kita telah mengarahkan kilang untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis itu kerana insiden tumpahan bahan mentah serta bahan kimia pernah terjadi di kilang yang sama beberapa bulan lepas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sharifah Zakiah berkata pihak kilang juga telah diminta melupuskan tiga tong bekas cecair amonia 25 liter yang distor di kawasan terbuka dalam kawasan kilang itu, di premis yang telah ditetapkan.

"Mereka juga perlu menyediakan kawasan penstoran sementara sebelum pelupusan dibuat tetapi perlu mematuhi garis panduan ditetapkan. JAS juga akan menjalankan pemantauan susulan agar pihak kilang mematuhi arahan yang diberikan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata sebanyak 22 pekerja mengalami gejala sesak nafas dan muntah akibat gas amonia itu.

"Kesemua pekerja kilang terbabit telah dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bomba.

"Kerja mengenal pasti bahan telah dibuat dengan menggunakan alat pengesan bahan kimia berbahaya dan kerja pengalihan bahan serta nyahcemar kawasan terlibat dilakukan. Pemeriksaan akhir dibuat bagi memastikan kawasan itu selamat dan operasi tamat sepenuhnya pada 5.21 petang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan