10 KENDERAAN TERPERANGKAP BANJIR KILAT DI AYER KEROH

28/06/2024 10:34 PM

MELAKA, 28 Jun (Bernama) -- Sebanyak 10 kenderaan terperangkap dalam banjir kilat yang melanda Jalan Tun Razak, Ayer Keroh di sini petang tadi, susulan hujan lebat berterusan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata bagaimanapun, tiada mangsa yang tercedera atau terperangkap dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu, tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira empat minit kemudian.

“Kenderaan-kenderaan itu kemudiannya dialihkan ke tempat selamat dan operasi tamat kira-kira 5.30 petang,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Sebelum itu, tular satu video di aplikasi WhatsApp menunjukkan beberapa kenderaan termasuk motosikal terperangkap di dalam arus banjir dianggarkan sedalam kira-kira paras peha.

Sesetengah kawasan di Melaka dilanda hujan lebat kira-kira pukul 4 petang tadi dan reda hampir tiga jam kemudian.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata sebuah kereta mewah mengalami kerosakan, manakala seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan selepas kenderaan tersebut dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Sungai Putat menghala Batu Berendam.

“Seramai 11 anggota dan pegawai APM telah membantu mengeluarkan mangsa dan melakukan kerja pembersihan di lokasi berkenaan, sebelum lalu lintas kembali pulih,” katanya dalam satu kenyataan.

Kamarulsyah berkata sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka di Balai Raya Bukit Balai, sebagai persiapan menerima mangsa banjir dari Kampung Bukit Balai dan Kampung Bukit Tambun dan proses pemindahan dan pendaftaran mangsa masih dijalankan. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan