DUA WARGA CHINA MAUT, 19 SELAMAT BAS PERSIARAN TERBALIK DI GENTING HINGHLANDS

29/06/2024 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Dua lelaki warga China maut manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands kira-kira 11 pagi tadi.

Pengarah Bomba Pahang Datuk Dr Wan Mohamad Zaidi Wan Isa berkata dua lelaki itu maut akibat mengalami kecederaan di kepala.

“Kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Bentong, Pahang,” katanya ketika dihubungi.

Wan Mohamad Zaidi berkata bas berkenaan membawa 21 penumpang terdiri daripada 18 penumpang warga China manakala pemandu bas dan dua pemandu pelancong adalah warga tempatan.

Terdahulu, tular video berdurasi 21 saat memaparkan situasi kemalangan bas persiaran itu dengan kelihatan beberapa anggota keselamatan telah berada di lokasi kejadian.

Wan Mohamad Zaidi berkata enam mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Bentong manakala selebihnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Tinjauan Bernama di Hospital Bentong mendapati dua mangsa warga tempatan masing-masing pemandu bas dan pemandu pelancong dilihat meninggalkan hospital itu kira-kira 3.15 petang selepas selesai menerima rawatan.

Difahamkan terdapat empat mangsa warga China masih menerima rawatan di hospital itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kerja-kerja pengalihan bas terlibat belum dapat dilaksanakan kerana kenderaan untuk mengangkat bas itu tersangkut dalam kesesakan jalan raya.

“Saya melihat kesesakan bermula dari Plaza Tol Gombak dan memohon sesiapa yang berhasrat ke Genting Highlands untuk tangguhkan dahulu atau ubah laluan.

“Pihak polis dan pengurusan Genting Highlands sedang berusaha yang terbaik untuk mempercepatkan urusan mengalihkan bas itu,” katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan