POLIS AMBIL KETERANGAN 11 INDIVIDU BERHUBUNG PERHIMPUNAN DI SERI PERDANA

02/07/2024 12:11 AM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Polis telah mengambil keterangan 11 individu berhubung perhimpunan yang diadakan di kawasan letak kereta awam di Kompleks Seri Perdana di sini Sabtu lepas. 

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata kesemua individu terbabit hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini bermula pukul 2 hingga 4 petang ini.

Antara individu yang diambil keterangan adalah Aidil Yunus atau dikenali sebagai YB Viral, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muhammad Rafique Rashid Ali dan pempengaruh media sosial Nurpais Ismail atau Papa Berry.

“Keterangan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard akan diambil pada Rabu ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung perhimpunan yang diadakan di kawasan letak kereta awam di Kompleks Seri Perdana di sini Sabtu lepas.

Beliau berkata kertas siasatan itu adalah susulan tindakan pihak penganjur yang tetap mengadakan perhimpunan itu walaupun dinasihatkan polis sebelum ini bahawa pemilik premis tidak memberi kebenaran penggunaan lokasi berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan