EDAR DADAH: BURUH DIPENJARA 30 TAHUN, 12 SEBATAN

04/07/2024 02:11 PM

KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang buruh yang didapati bersalah mengedar 299.17 gram dadah jenis methamphetamine, tiga tahun lepas. 

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Firdaus Mohd Zahid, 32, di akhir kes pembelaan dan mengarahkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 12 April 2021. 

Mengikut pertuduhan pada tarikh itu kira-kira pukul 4.50 petang, penganggur itu didapati mengedar dadah jenis methamphetamine yang ditemukan atas kerusi sebelah penumpang hadapan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandunya, ketika sekatan jalan raya di hentian rehat dan rawat Perasing, Kemaman. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama. 

Bagi kesalahan itu Mohd Firdaus berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Peguam Mohd Syahir Mat Jusoh yang mewakili Mohd Firdaus memohon hukuman minimum berbentuk penjara terhadap anak guamnya memandangkan hukuman mati bukanlah hukuman mandatori ketika ini. 

Beliau juga yakin anak guamnya yang masih menanggung keluarganya perlu diberi peluang kedua untuk kembali kepada masyarakat selain kerjasama baik oleh Mohd Firdaus sepanjang perbicaraan berlangsung.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris ketika memohon hukuman mati dijatuhkan ke atas tertuduh mengemukakan beberapa alasan antaranya bagi menjaga kepentingan awam berbanding kepentingan tertuduh. 

Beliau berkata hukuman itu juga boleh dijadikan suatu bentuk notis daripada mahkamah kepada orang awam.

Hakim Hassan ketika menjatuhkan hukuman itu berkata mahkamah memutuskan sabitan ke atas tertuduh setelah mendapati wujud keterangan jelas terhadap pemilikan dadah oleh tertuduh dan pihak pembelaan gagal mematahkan anggapan bersalah terhadapnya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan