POLIS KESAN PEMANDU REMPUH EMPAT KERETA DI CHERAS

04/07/2024 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang pemandu yang merempuh empat kereta di Jalan Cheras dari arah Pusat Bandar menghala ke Menara PGRM sebelum persimpangan lampu isyarat Sunway Medical Centre Cheras, di sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima empat laporan polis daripada pemilik kenderaan yang menjadi mangsa dalam kemalangan itu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku pada 9.40 malam melibatkan empat kenderaan yang dirempuh dari arah belakang oleh kereta jenis Honda City ketika sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat Sunway Medical Centre.

“Kenderaan yang dinaiki suspek telah melanggar Perodua Bezza dari sisi sebelah kanan, kenderaan jenis Inokom Atos pada bahagian belakang, kenderaan Suzuki Swift dilanggar pada bahagian sisi kanan dan Perodua Alza di sisi sebelah kiri.

“Suspek kemudian telah memberhentikan kenderaan miliknya di kawasan berhampiran lobi Sunway Medical Centre dan telah melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek telah menemukan empat peket dadah jenis Methamphetamine, tiga keping Eremin 5, dua peket dadah jenis ketamin dan tujuh biji pil ekstasi anggaran bernilai RM10,577.

“Polis turut merampas kenderaan Honda City warna putih milik suspek, tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama dan dua kad akses kediaman. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi talian Hotline Polis Cheras 03-9284 5050/ 5051 atau Hotline Trafik KL di talian 03-2071 9999/ 03-2071 9777 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan