PRK SG BAKAP: POLIS BUKA LIMA KERTAS SIASATAN, TAHAN DUA LELAKI

05/07/2024 03:24 PM

NIBONG TEBAL, 5 Julai (Bernama) -- Polis membuka lima kertas siasatan dan menahan dua lelaki berhubung kes membabitkan kesalahan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata sejak 22 Jun hingga hari ini, pihaknya menerima lima laporan polis dan siasatan lanjut bagi kesemua laporan tersebut sedang dijalankan.

“Lima laporan polis dan lima kertas siasatan yang polis buka membabitkan dua kes merosakkan dan mencuri bahan kempen iatu bendera dan kain rentang parti yang masing-masing disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, satu kes mengadakan kempen tanpa permit yang disiasat mengikut Seksyen 24(B)(3)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

“Dua kes lagi iaitu mengedarkan risalah dan menyebarkan maklumat yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 4A(1) AKPR 1954. Bagi dua kes ini, kita tahan dua lelaki berusia 23 dan 27 tahun,” katanya pada sidang akhbar sempena  PRK DUN Sungai Bakap di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhannya, pihak polis mengeluarkan sebanyak 181 permit untuk kempen bergerak, ceramah dan tinjauan mesra bagi parti politik yang bertanding sejak 22 Jun hingga hari ini membabitkan 97 permit untuk Pakatan Harapan (PH) manakala selebihnya untuk Perikatan Nasional (PN).

Hamzah berkata tiada sebarang permohonan permit yang ditolak sepanjang tempoh tersebut dan perjalanan kempen juga berjalan lancar dengan suasana aman, tenteram serta terancang tanpa sebarang kekecohan dari mana-mana parti bertanding.

Beliau menasihati semua parti politik yang bertanding agar memastikan semua aktiviti berkempen dihentikan pada 11.59 malam ini dan pihaknya akan memantau serta mengambil tindakan tegas sekiranya aktiviti kempen diteruskan selepas tamat tempoh berkempen.

“Kami mengucapkan jutaan terima kepada semua parti politik, penyokong dan masyarakat umum kerana mematuhi serta memberi kerjasama yang baik sepanjang tempoh berkempen di PRK DUN Sungai Bakap.

“Namun sekali lagi saya ingatkan supaya semua pihak yang terlibat agar tidak menimbulkan isu-isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) dan melakukan sebarang provokasi sepanjang proses pengundian berlangsung esok,” katanya.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PH Dr Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan