405,300 LITER DIESEL BERSUBSIDI DIRAMPAS DI PERAK DARI 2023 HINGGA MEI TAHUN INI

09/07/2024 01:48 PM

IPOH, 9 Julai (Bernama) -- Sejumlah 405,300 liter diesel bersubsidi bernilai RM871,395 telah dirampas di Perak dari 2023 hingga Mei tahun ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Woo Kah Leong berkata dari Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 119,494 liter diesel dirampas melibatkan nilai RM256,912.10.

“Untuk minyak masak bersubsidi, nilai rampasannya ialah RM7,552.60 dari Januari hingga Jun tahun ini. Oleh itu, dapat kita rumuskan bahawa diesel adalah jauh lebih banyak ketirisan sekiranya dibandingkan dengan minyak masak,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Khalil Yahaya (PN-Kubu Gajah) yang ingin tahu produk mana lebih banyak berlaku ketirisan iaitu sama ada diesel bersubsidi atau minyak masak bersubsidi.

Woo berkata setakat Mei lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak telah melaksanakan 34,580 pemeriksaan dan 76 kes telah dilaporkan dalam usaha memastikan isu penyelewengan serta ketirisan barangan bersubsidi dapat dibendung.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 22 kes melibatkan barang kawalan diesel dan 10 melibatkan barang kawalan minyak masak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan