KPDN TERENGGANU RAMPAS KAPAL TUNDA, LORI TANGKI BERISI 50,000 LITER DIESEL

09/07/2024 06:36 PM

KUALA TERENGGANU, 9 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas sejumlah 50,000 liter minyak diesel serta sebuah kapal tunda dan lori tangki dianggarkan bernilai RM863,500 di sebuah jeti berdekatan Sungai Kuang, Kemaman awal pagi tadi. 

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata kesemua bahan bakar itu dimuatkan masing-masing 40,000 liter dalam kapal tunda dan 10,000 liter dalam lori tangki. 

"Serbuan pada 2 pagi tadi itu dijalankan oleh tujuh pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN serta tujuh anggota Polis Diraja Malaysia hasil daripada risikan selama sebulan. 

"Modus operandi sindiket ini ialah membeli minyak diesel di tengah laut menggunakan kapal tunda sebelum dipindahkan ke lori tangki untuk dijual semula kepada pembeli di pasaran gelap," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Saharuddin berkata pemeriksaan mendapati kapal tunda dan lori tangki tersebut tidak memiliki permit atau surat kebenaran Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan terbabit. 

"Semasa serbuan dijalankan dianggarkan terdapat lebih 10,000 liter minyak diesel telah dipindahkan dari kapal tunda ke lori tangki menggunakan paip getah.

"Empat lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 30-an hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan