POLIS JOHOR BONGKAR SINDIKET EKPLOITASI OKU ASING JADI PENGEMIS

09/07/2024 06:24 PM

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Polis Johor berjaya membongkar sindiket pemerdagangan orang yang mengupah warga asing dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) untuk menjadi pengemis di negeri ini dengan gaji RM300 sebulan.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata pihaknya turut menahan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 42 hingga 53 tahun yang bertindak selaku penjaga dan pengangkut (transporter) kepada OKU terbabit.

Beliau berkata serbuan hasil maklumat awam itu dibuat di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini bermula 8.30 malam hingga 10.30 malam pada 13 Jun lepas.

"Modus operandi digunakan sindiket adalah menawarkan pekerjaan sebagai pengemis kepada OKU terlibat, sebelum diberikan kepada penjaga yang akan menguruskan hal berkaitan tempat tinggal dan kutipan secara mingguan.

"Mangsa dua OKU lelaki berusia 44 dan 50 tahun itu bukan sahaja perlu membayar RM800 seminggu bagi urusan pasport, tetapi juga wang kutipan diserahkan kepada penjaga secara mingguan, manakala gaji diterima OKU sebagai pengemis hanya RM300 sebulan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Kumar berkata sindiket itu beroperasi sejak April lepas dan setiap pengemis OKU mampu mengutip derma mencecah RM8,000 sebulan.

"Pertuduhan telah dibuat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. 

"Suspek yang merupakan penjaga hadir di mahkamah dan mengaku tidak bersalah (atas pertuduhan ini) serta diberi jamin RM12,000, manakala dua transporter dikenakan waran tahan dan tangkap oleh mahkamah kerana tidak menghadiri prosiding tersebut," katanya.

Sementara itu, Kumar berkata kedua-dua mangsa yang diselamatkan kini ditempatkan di rumah perlindungan sementara selama 21 hari mengikut peruntukan akta sama.

Beliau turut menyeru kerjasama orang ramai untuk menyampaikan maklumat mengenai aktiviti jenayah di kawasan masing-masing ke talian hotline Polis Johor 019-2792095 atau Bilik Gerakan Polis Johor 07-2212999.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan