SURI RUMAH RUGI RM126,490 TERPEDAYA TAWARAN KERJA PALSU

09/07/2024 09:24 PM

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Seorang suri rumah mengalami kerugian sebanyak RM126,490 setelah terpedaya dengan tawaran kerja sambilan dalam talian palsu yang menjanjikan pulangan lumayan. 

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya menerima laporan pada Jumaat lepas daripada wanita berusia 44 tahun yang mendakwa ditipu kenalan "alam maya" selepas menawarkan pekerjaan itu.

Beliau berkata mangsa mula mendaftar melalui pautan yang diberi suspek pada awal Mei untuk menjual pakej bilik hotel yang tertera di laman web terbabit, selain perlu membuat pembayaran modal.

"Mangsa dijanjikan komisen hingga 15 peratus daripada harga pakej yang berjaya dijual, manakala komisen 10 peratus pula sekiranya berjaya menjual pakej hotel kurang lima bintang.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran berkenaan telah membuat 17 transaksi pindahan wang secara dalam talian ke enam akaun berbeza bermula 17 hingga 28 Mei dengan keseluruhan berjumlah RM126,490," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata wanita itu hanya sedar ditipu apabila tidak berjaya mengeluarkan wang komisen diterima, sebaliknya suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan seorang lagi suri rumah rugi RM100,000 apabila terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud, sekitar bulan Mac dan April lepas. 

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata wanita berusia 31 tahun itu berminat dengan pelaburan yang disediakan oleh sebuah syarikat menerusi platform media sosial Facebook.

"Mangsa menghubungi nombor tertera sebelum diarahkan suspek iaitu seorang wanita berusia 30-an yang memberitahu keuntungan sebanyak 50 peratus akan diberi dalam tempoh sebulan selepas pelaburan dibuat.

"Mangsa kemudian bertemu dengan wanita berkenaan pada 30 April lepas sebelum membuat sembilan transaksi berjumlah RM100,000 ke dalam sebuah akaun syarikat," katanya sambil menambah mangsa kemudian membuat laporan polis setelah tidak menerima hasil daripada keuntungan berkenaan.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan