LIMA PEMPENGARUH DIDAKWA PROMOSI JUDI DALAM TALIAN

10/07/2024 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Lima pempengaruh wanita didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mempromosikan judi dalam talian di platform laman sosial mereka.

Aileen Koh Ooi Leng, 29, Hayatunnuffus Zakariya, 32, Nurul Syifa Aliya Adanan, 21, Nurazalina Mustafa, 28, dan Noor Shahnez Marzuani, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin dan Majistret Illi Marisqa Khalizan. 

Di hadapan Aina Azahra, Hayatunnuffus didakwa mengumum atau menerbitkan dengan cara mempromosikan platform perjudian dalam talian di akaun Instagram miliknya untuk mengajak atau memperdaya mana-mana orang berjudi di rumah judi terbuka di sebuah restoran di Cheras di sini pada 9 pagi, 13 Jun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan. 

Koh pula didakwa mempromosikan judi di tempat awam secara dalam talian di sebuah restoran di Sentul di sini pada 8.23 pagi tarikh sama mengikut Seksyen 8(1) akta serupa yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM200,000 dan penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prack Dit menawarkan jaminan RM5,000 terhadap Hayatunnuffus dan Koh, namun peguam Azlan Abdul Razak dan V. Varunnath memohon jaminan rendah atas alasan anak guam mereka tidak mempunyai pendapatan tetap. 

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta menetapkan 15 dan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes. 

Di hadapan Illi Marisqa, Noor Shahnez didakwa mengumum atau menerbitkan dengan cara mempromosikan platform perjudian dalam talian di akaun Instagram miliknya untuk mengajak atau memperdaya mana-mana orang berjudi di rumah judi terbuka di sebuah restoran di Taman Maluri di sini pada 9.30 pagi, 13 Jun lepas.

Nurul Syifa dan Nurazalina pula didakwa membantu menjalankan promosi perjudian dalam talian menerusi akaun Instagram kendalian mereka menggunakan dua telefon bimbit di Pejabat Unit Pencegahan Perjudian D7, di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di Wangsa Maju, masing-masing pada 7 dan 7.30 pagi, tarikh sama.

Ketiga-tiga wanita itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh, namun peguam Mohd Rhastdan Abdul Wahab, Meor Khusyairi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan A. Krishnaveni memohon jaminan minima memandangkan anak guam mereka mempunyai pendapatan rendah selain merupakan penanggung tunggal keluarga. 

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan