MOF BUAT SARINGAN KE ATAS KONTRAKTOR BAGI PROJEK JANA WIBAWA - SAKSI

10/07/2024 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Jawatankuasa Penilaian Kontraktor (JPK) di bawah Kementerian Kewangan (MOF) akan membuat saringan dan penilaian terhadap kontraktor bagi pelaksanaan projek di bawah program Jana Wibawa sebelum ia diluluskan.

Projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) diperkenal ketika pentadbiran perdana menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan objektif mempercepat pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi negara semasa pandemik COVID-19.

Bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan Datin Rosni Mohd Yusoff, 52, berkata jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau ketika itu, akan membuat saringan dan penilaian ke atas senarai kontraktor yang mempunyai catatan minit perdana menteri.

Saksi pendakwaan ketiga itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Amer Hamzah Arshad pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Amer Hamzah: Apabila ada senarai kontraktor yang dikemukakan kepada JPK, tidak kira sama ada projek secara rundingan terus atau di bawah tender terbuka pra kelayakan, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Datin Rosni akan membuat saringan dan penilaian.

Rosni: Betul, tetapi dengan senarai kontraktor yang ada catatan minit perdana menteri atau surat iringan dari Pejabat Perdana Menteri.

Rosni yang kini bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Strategi Badan Berkanun di MOF berkata senarai kontraktor yang telah dibuat penilaian oleh JKP kemudiannya akan disyorkan kepada Menteri Kewangan ketika itu untuk kelulusan.

Bagaimanapun saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan Amer Hamzah bahawa pihak yang sebenarnya bertanggungjawab untuk membuat keputusan pemilihan kontraktor dan projek yang perlu dilaksanakan di bawah program Jana Wibawa adalah Kementerian Kewangan.

"Keputusan muktamad pemilihan syarikat dibuat oleh Menteri Kewangan setelah berbincang dengan Pejabat Perdana Menteri," kata saksi.

Disoal peguam di manakah dokumen yang menyatakan terdapat perbincangan itu, Rosni menjawab, "Saya tidak dapat kemukakan dokumen kerana telah bertukar di bahagian lain di Kementerian Kewangan".

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 8 Ogos.

Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan