KPDN TAHAN SUAMI ISTERI DISYAKI SELUDUP PETROL GUNA TANGKI UBAH SUAI

10/07/2024 08:24 PM

KOTA BHARU 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan pasangan suami isteri kerana disyaki mengisi dan cuba menyeludup petrol menggunakan tangki yang diubah suai dalam serbuan di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu di Tumpat semalam.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata kegiatan pasangan berusia 31 dan 33 tahun itu dikesan sepasukan pegawai penguat kuasa yang menjalankan Operasi Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan sekitar Tumpat.

Beliau berkata hasil intipan mendapati pasangan itu disyaki mengisi minyak ke dalam kereta Perodua jenis Kenari yang diubah suai tangkinya bertujuan untuk penyelewengan barangan kawalan ke negara jiran.

"Pasukan penguat kuasa kemudian mengekori kereta tersebut dan berjaya mengesannya dalam keadaan diparkir di hadapan sebuah rumah di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu pada 11 pagi. 

“Ketika serbuan seorang wanita dan seorang lelaki tempatan didapati berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata pemeriksaan ke atas kereta itu mendapati tangki minyak yang telah diubah suai mengandungi 75 liter petrol iaitu melebihi kuantiti asal, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram di tebing sungai sekitar sempadan.

“Siasatan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang lesen, permit atau surat kuasa berkait pemilikan petrol yang dibawa bersama,” katanya sambil menambah petrol dan kereta tersebut dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan nilai sitaan RM5,175.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan