POLIS LUMPUH SINDIKET GULA-GULA GETAH DICAMPUR DADAH

11/07/2024 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Polis melumpuhkan sindiket pengedaran gula-gula getah dicampur dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5.02 juta dalam serbuan berasingan di Cheras dan Seri Kembangan, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata polis turut menahan dua lelaki tempatan berusia 22 tahun dipercayai terlibat aktiviti menyimpan dan menghantar dadah berkenaan sejak tiga bulan lepas.

Beliau berkata salah seorang suspek berperanan sebagai penjaga stor penyimpanan dadah dan diupah sebanyak RM6,000 sebulan manakala seorang lagi sebagai penghantar dengan upah RM4,500 sebulan.

Menurut Khaw dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Cheras dan kondominium di Seri Kembangan itu, polis menemukan dadah MDMA seberat 165 kilogram (kg), ketamine (9 kg), ekstasi (7.5 kg), pil erimin 5 (4.5 kg), gula-gula getah (3.5 kg), kokain (1.6 kg) dan syabu (0.485 kg).

“Pangsapuri dan kondominium yang dijadikan stor penyimpanan dadah disewa ahli sindiket lain dan kedua-dua suspek tidak mengetahui sewaan atas nama siapa dan berapa kadar sewa dikenakan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit direman selama tujuh hari hingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Khaw berkata polis turut menyita sebuah kereta yang didaftarkan atas nama individu lain disyaki digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah berkenaan.

Dadah yang dirampas katanya dipercayai untuk edaran di pasaran sekitar Lembah Klang serta Utara dan Selatan Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata polis percaya terdapat rangkaian sindiket itu masih bebas terutama dalam kalangan pembekal.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket itu diminta menghubungi polis di talian 012-2087222 bagi membantu siasatan. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan