DUA SAHABAT DIDAKWA PERDAGANG REMAJA PEREMPUAN BAWAH UMUR

12/07/2024 01:14 PM

KANGAR, 12 Julai (Bernama) -- Dua sahabat termasuk seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan dua remaja perempuan bawah umur bagi tujuan eksploitasi seks pada 2 Julai lepas.

Bagi pertuduhan pertama Shakila Latiff, 25, dan rakannya berumur 17 tahun itu didakwa bersama-sama  memperdagangkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun bagi maksud eksploitasi seks bertempat di sebuah hotel di Persiaran Jubli Emas di sini pada 6.20 petang, 2 Julai.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan perbuatan sama melibatkan seorang lagi remaja perempuan yang berumur 14 tahun di bilik berasingan di hotel sama pada 6.25 petang, tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan boleh disebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Suzila Chek Pi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Musyiri Peet membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama, manakala RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua.

Kedua-dua tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan dan tidak boleh menghampiri saksi pendakwaan serta mangsa.

Mahkamah menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan