KES TEROWONG DASAR LAUT: GUAN ENG KEMUKA REPRESENTASI GUGUR PERTUDUHAN RASUAH

12/07/2024 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Lim Guan Eng telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan empat pertuduhan rasuah terhadapnya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai lebih RM6 bilion. 

Representasi itu, yang diserah pada Jun lepas, mengemukakan beberapa alasan termasuk keterangan saksi utama pendakwaan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli kepada mahkamah adalah bercanggah dengan keterangannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung kes penipuan ahli perniagaan G.Gnanaraja membabitkan RM19 juta berkaitan kes terowong dasar laut yang sama.

Prosiding mencabar kredibiliti saksi itu bersambung 19 Julai ini di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan